Isnin, 19 September 2011

Kisah ruh dengan malaikat maut

Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa apabila Allah s.w.t. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka akan datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini, kerana orang mukmin ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah s.w.t.

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu maka diapun kembali kepada Allah s.w.t. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu lalu Allah s.w.t. berfirman yan bermaksud: "wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain".

Sebaik sahaja malaikat maut mendapat perintah Allah .s.w.t. Maka malaikat maut pun cuba mencabut ruh orang mukmin itu dari arah tangan tetapi keluarlah sedekah dari orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluarlah penulisan ilmu maka berkata tangan: "tidaklah ada jalan bagimu mencabut ruh orang mukmin ini dari arah yang ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini juga menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal lagi untuk mencabut roh orang mukmin itu dari arah tangan maka malaikat maut pula cuba dari arah kaki, malangnya malaikat maut juga gagal melakukannya sebab kaki berkata: "tidak ada jalan darimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang-alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila malaikat maut gagal mencabut dari arah kaki maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga, sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-quran dan zikir."

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut roh orang mukmin itu dari arah mata, tetapi baru saja dia hendak menghampiri mata maka mata pun berkata: "tidak ada jalan bagimu dari arah ini, sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab."

Apabila malaikat maut gagal menjalankan peritahnya maka diapun kembali kepada Allah s.w.t. dan memberitahu masalah yang dihadapinya walaupun semua cara telah dilakukan.

Kemudian Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "wahai malaikatku, tulislah asmaku di telapak tanganmu dan tunjukkan roh orang yang beriman itu."

Sebaik saja mendapat perintah Allah s.w.t. maka malaikat maut pun pergi menghampiri roh itu dan menunjukkan Asma Allah s.w.t., sebaik saja ruh melihat asma Allah dan cintainya kepada Allah maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut orang yang tenang.

Kisah ini hendaklah kita jadikan persoalan ke atas diri kita, apakah kita juga menggunakan mulut kita untuk zikir kepada Allah s.w.t., memberi nasihat kepada saudara-saudara kita supaya menyembah Allah atau adakah kita menggunakkan mulut kita untuk mengumpat dan melagakan saudara kita?

Adakah kita menggunakan tangan kita untuk mengeluarkan sedekah, menyayangi anak-anak yatim atau adakah kita menggunakan tangan kita untuk mencuri harta anak-anak yatim ataupun memukul anak-anak yatim atau sebainya.

Adakah kita mengunakan kaki kita untuk pergi berulang alik ke masjid atau surau dan majlis-majlis ilmu untuk kita menggunakan kaki kita untuk berjalan mencari pesta-pesta maksiat, kelab-kelab malam dan sebagainya.

Adakah kita menggunakan mata kita untuk membaca kitab-kitab atau kita menggunakan mata kita untuk tujuan maksiat?

Adakah kita menggunakan telinga kita untuk mendengar bacaan Al-Quran dan majlis-majlis ilmu atau adakah kita menggunakan telinga kita untuk mengintip hal-hal saudara kita yan lain dan kemudian kita mengadu sehingga berkelahi saudara-saudara kita.

Saudara-saudaraku, ingatlah bahawa sesungguhnya akan mati dan mati itu terlalu hampir dengan kita. Allah s.w.t. menciptakan tangan, kaki, mata, mulut, telinga dan lain-lainnya pada diri kita dan juga Allah s.w.t. Tundukkan kesemua ini pada nafsu kita dan memberi kita kuasa untuk membuat apa saja. Sekiranya kita hendak mencuri maka tangan kita tidak akan membantah sebab ianya menerima arahan daripada kita, begitu juga dengan seluruh anggota yang lain, kesemua patuh kepada kita, jadi apabila semua ini patuh kepada kita sudah semestinya kita pelihara dengan baik sebab ini akan mendedahkan segala rahsia kita dihadapan Allah s.w.t. pada hari akhirat nanti, di mana pada hari itu mulut kita akan dikunci dan yang akan bercakap hanyalah anggota-anggota badan kita yang lain.

Mulut kita sahaja yang diberi kuasa oleh Allah untuk kita berkata-kata semasa di dunia ini, tetapi di akhirat nanti mulut akan dikunci dan anggota lain pula akan berkata-kata dan mengadu apa yang telah kita lakukan semasa di dunia.

Ingatlah saudara-saudara mulai hari ini, tukarlah pekerjaan anggota kita kepada jalan yang diredhai Allah dan yakinlah bahawa semua anggota kita akan berkata-kata dalam mahkamah di padang mahsyar, berimanlah, tidak ada yang mustahil bagi Allah.

Saudara-saudaraku jangan sesekali-kali menggunakan anggota kita untuk mendurhakai kedua ibu-bapa kita, oranag-orang yang paling biadap ialah oran yang menggunakan tangan dan kaki sebagainya untuk memukul ibu bapa, janganlah sekali-kali mengherdik atau memarahi mereka, meraka adalah orang yang membesarkan kita, orang yan bertanggungjawab terhadap keselamatan kita dilahirkan sehinggalah kita dewasa.

Seluruh anggota kita tidak lagi akan patuh kepada kita di akhirat kelak, ianya akan menjawab soalan yang ditanya kepadanya dan dia tidak akan mengikut perintah kita sebagaimana di dunia dan dia akan menjadi musuh kita juga di akhirat kalau kita membuat kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah s.w.t.

Ingatlah bahawa seluruh anggota kita adalah perisik yang akan memberitahu segala yang kita buat di mahkamah padang mahsyar, oleh itu mulai hari ini buatlah kerja yang diredhai Allah. Sujudlah kepada Allah, ikutlah perintah Allah, cintailah Allah dan Rasul serta kenangilah segala usaha Rasulnya dan para sahabat, semoga kita menjadi orang yang disukai Allah dan akan mendapat balasan syurga Allah.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan